Archive for the ‘Takziah’ Category

PEMERGIAN pelakon dan pelawak terkenal Yusni Jaafar di hening 2.30 pagi tadi di Hospital Selayang cukup meninggalkan kesan pada mereka yang sering bersama-samanya semasa hayat, baik ketika senang mahupun susah.

Allahyarhamah sememangnya mempunyai sifat keibuan yang cukup tinggi kerana selain seorang yang peramah, beliau begitu mengambil berat tentang anak-anak, keluarga mahupun kenalan.

Pada awal bulan lepas, arwah Yusni Jaafar ada titipkan pesanan pada penulis yang dia begitu gembira apabila kembali tinggal bersama familinya di Subang Jaya setelah beberapa waktu membawa diri.

Pesanan seperti, “Ibu gembira ayah ada, anak-anak ibu semua ada. Lama ibu tak tidur dengan ayah, Ema, Erna dan cucu-cucu ibu. Lepas ini ibu hendak pergi jauh. Tak payah cakap siapa-siapa. Kalau siapa cari ibu kata ibu happy sangat sekarang…”

Terngiang-ngiang lagi pesanan itu di cuping telinga. Siapa sangka petanda yang akan datang. Kata orang ‘Gabak di hulu tanda akan hujan, cewang di langit tanda akan panas…’

Sepanjang perbualan, suara arwah begitu ceria dan terus berbual dalam bahasa Inggeris. Sesekali, arwah membaca petikan dari surah dalam Al Quran melahirkan betapa ‘rindunya hendak pulang’ dan persiapannya untuk menemui Pencipta.

Penulis masih tidak dapat meneka riak dan rentak lain arwah walaupun berkali-kali diminta berjanji untuk ‘menyimpan segala rahsia’ dan ‘tolong tengok-tengokkan Irna, dia anak yang baik’ serta pesanan pada pelakon Hans Isaac yang sudah dianggap macam anak sendiri. Sehinggalah ketika menerima panggilan pagi tadi, penulis bagai tersentak dan tercari-cari apa lagi amanat terakhir arwah.

Sekembalinya dari tanah suci beberapa tahun yang lalu, tumpuan Allahyarhamah banyak kepada membuat kerja amal dan melakukan ibadah. Sisa-sisa hidupnya dihabiskan untuk membuat keluarganya bahagia dan seringkali mengingatkan para artis muda agar selalu ingat pada Allah.

Jenazah Allahyarhamah telah dibawa ke rumah keluarganya di No 37, Jalan USJ3/20 dan seterusnya ke masjid berdekatan Subang Parade Seksyen 15 untuk urusan pengebumian. Allahyarhamah akan disemadikan di Tanah Perkuburan USJ 20 sebelum Zohor hari ini.

Menurut anaknya, Raja Ema, semua keluarga sempat menatap wajah terakhir ibunya.

Yusni, 62 tahun, telah dimasukkan ke Hospital Selayang pada 12 Mac yang lalu apabila penyakit hati yang dihadapinya bertambah kronik dan kritikal sejak awal minggu lalu.

Yusni yang lebih mesra dengan panggilan Ibu mula mendapat rawatan untuk penyakit hatinya sejak 2005.

Pada awal tahun ini, keadaan kesihatan Yusni tidak begitu stabil dan selalu keluar masuk hospital untuk menerima rawatan susulan penyakit hati yang dihadapinya.

Selain komplikasi hati yang memberi kesan kepada kedua-dua buah pinggangnya, Allahyarhamah juga menghidap penyakit kencing manis dan badannya semakin membengkak.

Menurut adik Allahyarhamah, Sukarni Jaafar, keadaan kakaknya serius sejak tiga bulan lalu apabila kaki dan beberapa bahagian badannya mula membengkak.

“Sejak awal tahun ini, arwah sentiasa keluar masuk hospital dan diwajibkan menjalani rawatan setiap bulan.

“Doktor tahan dia masuk wad apabila keadaannya semakin membimbangkan apabila kedua-dua buah pinggang arwah gagal berfungsi, begitu juga hatinya, menyebabkan badannya membengkak dua kali ganda dari saiz biasa,” kata Sukarni.

Yusni yang mendirikan rumah tangga dengan ahli muzik Raja Ibrahim Raja Mansor meninggalkan lima orang anak iaitu Raja Iskandar, 41; Raja Ema, 39; Raja Izat, 37; Raja Emy, 30, dan Raja Irna, 23 serta sembilan orang cucu.

Yusni yang mengabdikan diri selama 50 tahun dalam dunia seni dan pernah berlakon dalam puluhan filem, antaranya Setinggan, Sikit Punya Gila, Gila-gila Remaja, Hantu Siang, Azura dan yang terbaru Cuci merupakan seorang anak seni yang tulin.

Walaupun tidak kesempatan menerima imbuhan yang menggalakkan seperti kebanyakan artis muda sekarang, Allahyarhamah jarang mengeluh.

“Beginilah hidup anak seni. Bila muda disanjung, dah tua orang tak pandang tapi ini pilihan ibu. Ibu tak menyesal…” itulah yang sering diungkapkan oleh arwah semasa hayatnya.

Begitupun kelembutan dan nalurinya seorang ibu di kalangan penggiat industri hiburan, ada kalanya arwah begitu tegas menyuarakan pendapat dan pendiriannya tentang sesuatu isu atau perkara.

Apa saja yang dirasa tidak adil atau apa saja kemusykilan, arwah tidak akan biarkan begitu saja tanpa mendapat jawapan atau kepastian.

“Walau kita tidak berduit, kita perlu ada maruah diri. Itu saja yang kita ada dan tidak boleh diambil orang. Ingat pesan ibu!,” itulah antara pesanan ibu waktu terakhir berbual dengannya.